JOHOR BAHRU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan harga minyak masak dijangka stabil selepas masalah kekurangan tenaga kerja asing yang dihadapi pemain industri perladangan dapat diselesaikan.
Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
Beliau berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir perbincangan mengenai isu itu dengan pemain industri dan berharap perkara itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini Kabinet telah buat satu keputusan penting iaitu kita sasarkan isu pekerja asing akan dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan, jadi mungkin pada akhir Mac ini kita akan dapat memberikan jumlah pekerja asing mencukupi kepada semua sektor, khususnya pembinaan dan juga perladangan, itu kita utamakan.
“Hasil pertemuan dengan pihak perladangan, mereka bersedia untuk berbincang tentang harga malah harga itu dapat distabilkan sekiranya mereka kembali dapat jumlah pekerja mencukupi,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Kaligrafi Sempena Tahun Baharu Cina di pusat beli belah Paradigm Mall di sini hari ini.
Menyentuh soal kekurangan bekalan telur khususnya gred A, Salahuddin berkata, masalah tersebut akan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Sesi libat urus telah pun dilakukan bersama pembekal dan kita sedang berusaha untuk memastikan bekalan sedia ada mencukupi.
“Kita juga tiada sebarang keputusan untuk menyekat eksport telur ke luar negara kerana pengeluarannya ketika ini pada tahap 112 peratus.
“Memang ketika ini bekalan tempatan kurang tetapi hal itu akan selesai dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Dalam pada itu Salahuddin turut meminta ibu bapa memainkan peranan dengan menaklumkan secara terus kepada kementerian sekiranya terdapat pengusaha kantin sekolah yang menaikkan harga jualan secara mendadak.
Perkara itu jelasnya, memudahkan kementerian melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pengusaha yang melakukan perkara itu.
“Mereka boleh buat aduan dengan memaklumkan lokasi dan sekolah mana agar tindakan segera akan diambil secara satu persatu, pihak sekolah juga perlu ambil maklum berhubung perkara ini,” katanya.
Sebelum ini ada laporan menyatakan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50% pada sesi pembukaan sekolah tahun ini, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.
Peningkatan harga itu difahamkan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang melonjak.- MalaysiaGazette