Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR – Langkah UMNO yang tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan akan datang hanya akan menakutkan golongan muda untuk menyertai parti itu.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan itu juga menunjukkan  parti ini sukar untuk diremajakan apabila kepimpinan tidak dapat digantikan dengan orang muda.

“Orang muda tak masuk…kita nak remajakan UMNO kena bawa orang muda masuk. Dan, orang muda mesti bawa seberapa ramai (rakan-rakan) untuk masuk ikut dia…ini hanya berlaku kalau ada pertandingan,” katanya ketika ditemui selepas mendengar ucapan penangguhan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Terdahulu, PAU 2022 hari ini meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Usul berkenaan diluluskan dengan tujuan memastikan kestabilan parti.

Kira-kira 98 peratus perwakilan menyokong usul tambahan yang dibawa oleh wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin semalam.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan jawatan berkenaan, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, beliau bukannya tidak bersetuju dengan usul yang diluluskan itu.

Cuma, ia perlu dilakukan dengan cara yang baik.

Katanya, beliau melihat seolah-olah berlaku sekatan dalam parti berhubung perkara tersebut sedangkan ia boleh dirundingkan.

“Saya lawan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu hebatlah, tak pecah pun UMNO.

“Dia orang ikutlah nak lobi…parti penting nak ajak orang ramai dari luar UMNO kuatkan kita parti Melayu, nak bawa masuk dalam UMNO..kalau sekat sana, sekat sini parti lain ada lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast