elajar Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik (FKTEN) UniMAP dalam Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 2022. foto FB UniMap

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya baru-baru ini ketika merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya, telah menyampaikan panduan yang amat jelas tentang hala tuju penyelidikan negara untuk beberapa tahun akan datang melalui lima prinsip penting. Beliau memberi penekanan kepada kepentingan penyelidikan sebagai pencetus kepada ilmu baharu dan untuk manfaat kepada negara,
kepentingan kerjasama strategik dalam usaha mendanai penyelidikan, dan pelaksanaan penyelidikan jangka panjang yang melibatkan konsortium penyelidik dari pelbagai disiplin yang sudah tentu akan mendatangkan impak pada skala yang besar.

Beliau juga menggariskan akan pentingnya penyelidikan dilaksanakan berlandaskan etika, proses yang sihat dan prinsip profesionalisme, dan terkait dengan aspek kewangan ialah tentang penjanaan pendapatan utama universiti melalui penyelidikan. Sebagai sebuah universiti teknikal yang mempunyai misi untuk melahirkan insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara, UniMAP menyokong kesemua lima prinsip panduan yang telah digariskan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tahun 2023 menyaksikan Universiti Malaysia Perlis melangkah ke Fasa Tiga pelaksanaan UniMAP 2025, pelan strategik universiti yang telah dirancang bagi tempoh 2015 sehingga 2025, selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). Sehingga tamat pelaksanaan Fasa 2 pelan tersebut yang melangkaui tempoh 2020-2022, pelbagai kejayaan telah ditempah berdasarkan sasaran yang ditetapkan. Sasaran tersebut dipandu oleh objektif strategik yang telah ditetapkan bagi setiap satu daripada lapan teras yang terkandung dalam UniMAP 2025. Salah satu teras
utama dalam pelan tersebut ialah Teras Pemerkasaan Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan.

Teras ini memberi fokus kepada tiga objektif strategik yang memberi penekanan kepada pemerkasaan impak penyelidikan, pengukuhan ekosistem penyelidikan ke arah kemampanan, dan pemacu inovasi dan pengkomersialan. Saya melihat ketiga-tiga objektif strategik ini sebagai selari dengan hasrat yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi. Terjemahan kepada objektif strategik ini ialah inisiatif yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas dalam tempoh Fasa 2, UniMAP 2025.

Sebagai contoh, ketika Covid-19 melanda negara, UniMAP telah melangkah ke hadapan menawarkan solusi kepada pelbagai pihak. Salah satu daripada usaha ini melibatkan pasukan penyelidik UniMAP yang telah mereka cipta dan menghasilkan Sistem Sanitasi Mudah Alih yang telah dipasang di Hospital KPJ Pulau Pinang dan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis. Inovasi ini juga telah dikomersialkan dengan pemasangan unit sistem tersebut di Majlis Perundingan Islam Malaysia, Hospital Kemaman Terengganu dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Selain inisiatif ini, UniMAP juga memberi penekanan kepada perkongsian kepakaran intelektual yang dimilikinya dengan komuniti dengan tujuan memperkasakan sosio-ekonomi ahli masyarakat. Program khusus UniMAP for Society dibangunkan atas kesedaran bahawa penyelidikan yang dilaksanakan oleh universiti perlu sejajar dengan cabaran yang dihadapi oleh komuniti setempat dengan mengintegrasikan penyelidikan dan pendidikan ke arah pembangunan komuniti sejahtera yang seterusnya menyumbang kepada kemakmuran negara. Komponen penyelidikan dalam UniMAP for Society diupayakan melalui Geran Dana Penyelidikan Projek Komuniti (Compres), Dana Penyelidikan Impak (Impres) dan UniMAP-Private Matching Fund (UniPRIMA).

Antara projek penyelidikan yang telah dilaksanakan termasuk AI-Assisted Lawn Mower and Pesticide Spraying Robot using Computer Vision Technique, yang dilaksanakan bersama-sama dengan Abi Agro, sebuah perusahaan berasaskan pertanian. Beberapa bulan lepas pula, UniMAP telah berjaya menyerahkan Rumah Lestari kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai anak OKU di Perlis. Rumah Lestari ini menggabungkan konsep mesra OKU dan teknologi hijau, telah dibina hasil kolaborasi penyelidik pelbagai fakulti di UniMAP dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia Cawangan Utara.

Kepakaran di UniMAP juga telah memberi keyakinan kepada pihak industri luar negara untuk meneroka ilmu baharu bersama dengan ahli penyelidik universiti ini. Sebagai contoh, pada Mac 2022 Nihon Superior, sebuah syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun bersetuju menyalurkan dana geran penyelidikan berjumlah RM313,000 kepada universiti ini untuk projek pembuatan bahan penyambungan elektronik bersifat pengalir lampau bagi aplikasi peralatan perubatan dan komunikasi. Pendek kata, agenda penyelidikan di UniMAP semakin menjurus kepada penyelesaian masalah dan pemerkasaan komuniti dan industri, selari dengan salah satu objektif UniMAP, iaitu “Untuk menjana ilmu baharu melalui usaha penyelidikan yang strategik bagi manfaat manusiawi”.

Sebagai Naib Canselor universiti teknikal, saya akan memastikan usaha ini akan terus dimantapkan, dan juga memberi penekanan kepada inisiatif yang boleh membawa kepada kelestarian pendanaan projek-projek penyelidikan dan lain-lain keberhasilan yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan negara. Pada masa yang sama, saya fikir terdapat keperluan untuk mekanisme pengurusan dan pemantauan prestasi universiti yang digunakan seperti SETARA, MyRA dan sebagainya disemak semula supaya selari dengan prinsip yang digariskan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hal ini kerana bukan sedikit strategi, inisiatif dan aktiviti berkaitan penyelidikan di universiti awam dilaksanakan kerana bersifat ‘driven by the system’, iaitu output aktiviti tersebut ‘dituntut’ sebagai petunjuk kejayaan sesebuah universiti, seperti bilangan pingat hasil pameran penyelidikan, bilangan penerbitan dan sebagainya. Hal ini perlu untuk memastikan agenda “resetting of our national research agenda” seperti yang telah disebut dalam ucapan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dapat bermula dengan langkah yang betul.

 

Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis