Mohd Shafiq Fhadly Mahmud

KUALA LUMPUR – Semua ahli perlu berlapang dada dan menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan UMNO hari ini yang menyokong usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu iaitu presiden dan timbalan presiden.

Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud berkata, ia menjadi bukti ruang demokrasi dibuka seluas-luasnya dan perwakilan telah membuat keputusan untuk menyokong usul tersebut.

“Tanpa dibayar atau disogok. Ayuhlah kita semua ahli agar walk the talk selepas mandat yang diberikan selepas sebulat suara tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden diadakan.

“Ini juga mandat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, perkara itu wajar diikuti oleh mereka yang berjanji untuk menghormati keputusan dan menyokong mandat agar tidak ada perpecahan.

“Tak perlu lagi ulang perangai lama seolah-olah dia saja yang sayangkan parti, dia saja yang betul, dan dia saja yang boleh selamatkan parti ini.

Let us move on. Kita bertaut kembali, rapatkan saf, wala pada kepimpinan, berdisiplinlah agar kita dapat bangkit kembali. Muhasabah, dan renungkan setiap daripada hujah-hujah jurucakap yang berbahas,” katanya.

Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil melalui hantaran Facebooknya petang ini.

Menurut Isham, usul tersebut bertujuan memastikan kestabilan parti itu telah diluluskan. – MalaysiaGazette