Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi tidak dicabar dalam pemilihan parti nanti dikhuatiri akan menjejaskan kepercayaan pengundi muda kepada parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih membimbangkan keputusan itu menyebab parti itu sukar untuk menarik minat orang muda kepada UMNO dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam perbahasan kita banyak bercakap soal nak mengembalikan kepercayaan orang muda kepada kita. Orang muda bercakap soal hak asasi dan demokrasi, melihat apa kita lakukan bertentangan dengan idealisme mereka.

“Mereka nak sebuah parti yang terbuka, beri kebebasan, hak untuk bertanding, setiap parti mempunyai hak untuk bertanding, jadi tidak dipertandingkan.

“Saya takut ianya akan mengurangkan lagi kepercaayaan orang muda kepada keterbukaan UMNO yang akan menyekat minat mereka kepada kita,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu, usul tambahan berkaitan jawatan tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang yang diluluskan pada PAU2022 hari ini.

Hasil undian itu mendapati lebih 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul berkenaan, manakala kurang 10 peratus sahaja tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Ismail Sabri juga berkata, langkah UMNO itu kebelakang kerana tidak selari dengan kehendak orang muda pada hari ini.

“Kita bercakap nak tarik orang muda, dalam masa sama tindakan kita mungkin tidak boleh menarik orang muda.

“Bukan sahaja tak menarik tapi menjauhkan orang muda kerana tidak ada keyakinan kepada UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette