Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

SERI KEMBANGAN – Pembentukan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) adalah antara perkara yang akan dibincangkan di dalam Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata demikian ketika menyenaraikan lima pilihan kepada parti itu sebagai salah satu isu penting mengenai penglibatan Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di enam buah negeri.

“Opsyen lain adalah untuk bertanding secara solo dan Pejuang berpeluang untuk menang sekiranya memfokuskan bertanding hanya beberapa kerusi di negeri-negeri tertentu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung parti itu di sini.

Beliau berkata selain itu, Pejuang boleh terus bertanding sebagai parti komponen dalam Gerakan Tanah Air (GTA) atau berundur seketika dari bertanding dalam PRN.

Katanya pengunduran seketika memberi masa kepada usaha memperkuatkan parti dan meletakkan sasaran untuk bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya pada empat atau lima tahun lagi.

“Ini juga satu cadangan atas niat untuk melindungi parti dari mengalami kekalahan sebanyak tiga kali berturut-turut dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sebelum ini, Pejuang bertanding 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor dan 125 kerusi Parlimen dalam PRU15 lepas, namun kalah kesemuanya.

— BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast