Pembahas, Datuk Zainal Rafique berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO akan berdepan dengan perspektif negatif sekiranya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, perkara tersebut boleh memberi kesan bukan sahaja kepada parti malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di negara ini yang sedang memerhati senario yang berlaku.

“Sesiapa saja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu dari ahli-ahli parti pada akhirnya.

“Sekiranya jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, pelbagai pandangan dan pendapat dilontarkan oleh ahli-ahli yang mana ada yang bersetuju dan tidak bersetuju agar jawatan berkenaan dipertandingkan.

Dalam pada itu, Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang meminta agar semua ahli parti mengikhlaskan hati dan selari dengan perbuatan untuk menuju ke hadapan.

Katanya, masih belum terlambat untuk ahli UMNO memberi nafas baru dan segar kepada parti ketika ini.

“Mungkin kita semua termasuk saya sendiri telah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkan lah kita nak membiarkan kesilapan itu berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya.

“Perjalanan UMNO masih jauh dan penuh berliku di hadapan.

“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast