Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya pada 20, 21 dan 24 Januari ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa, kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Katanya, PLUS telah membuat persediaan awal dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya kendaliannya.

Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol, hebahan maklumat trafik dan sebagainya.

”Fokus kami pada perayaan hari ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan, Pada masa yang sama, kami memohon kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan yang akan datang,” jelas beliau.

Jelasnya, penunggang motosikal menyumbang kepada kira-kira 64% daripada keseluruhan jumlah kemalangan maut di lebuh raya PLUS pada tahun 2022.

Manakala, kemalangan-kemalangan yang membabitkan kenderaan berat pula sering menyebabkan kesesakan yang teruk memandangkan ia memerlukan tempoh yang agak panjang untuk dialihkan dan diselesaikan serta memerlukan kehadiran dan bantuan jentera-jentera berat seperti kren dan sebagainya.

Oleh yang demikian, PLUS berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan ini.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada musim perayaan ini, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2 Ronda akan ditambah kepada 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan.

Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 9.1% berbanding hari-hari biasa.

PLUS juga akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT2 untuk mengagihkan
trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang. – MalaysiaGazette