Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Kehabisan minyak diesel menjadi punca gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Pos Balar namun telah berjaya diaktifkan semula pada 5 Januari lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, laluan ke Pos Balar pula ketika itu terhalang disebabkan tanah runtuh telah menyukarkan penghantaran bekalan diesel ke menara tersebut.

Pos Nalar terletak 300 kilometer dari Kota Bharu yang mana akses ke perkampungan tersebut agak sukar dengan melalui jalan tidak berturap dan berbukit sehingga 70 kilometer.

”Bagaimanapun, pada 5 Januari 2023, menara telekomunikasi di POS Balar sudah berjaya diaktifkan dan kembali beroperasi seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan di sini.

Berhubung isu penambahbaikan capaian Internet, di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1, perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi melalui satelit (BWA) di Kampung Orang Asli (KOA) Pos Bihai dan KOA Dakoh berhampiran Pos Balar, SKMM berkata, penduduk setempat akan menikmati Internet secara percima dengan had kuota penggunaan.

Tujuan kuota ini untuk memastikan supaya semua pengguna boleh menikmati perkhidmatan BWA secara saksama dan pada tahap kualiti perkhidmatan yang berpatutan.

Namun demikian, bagi mengatasi aduan yang telah diterima, pihak SKMM telah berbincang dengan penyedia perkhidmatan BWA tersedia iaitu Numix Engineering Sdn Bhd dan pemilik menara pemancar berkaitan iaitu pihak CelcomDigi bagi mencari jalan penyelesaian yang bersesuai.

Berdasarkan perbincangan, beberapa solusi bagi penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang telah dikenalpasti untuk pelaksanaan dan penelitian lanjut.

Bagi penyelesaian jangka pendek, Numix telah bersetuju dan komited untuk meningkatkan kuota penggunaan Internet percuma sedia ada dari 8GB kepada 12GB setiap bulan bagi setiap pengguna.

Penambahan kuota kepada 12GB setiap bulan tersebut telah selesai dilaksanakan oleh Numix pada 7 dan 8 Januari 2023 di kedua-dua lokasi.

Sebagai penyelesaian jangka sederhana, SKMM dan CelcomDigi merancang untuk menambah kapasiti backhaul Very Small Aperture Terminal (VSAT) bagi setiap pemancar sedia ada di Kg. Tandrik, Pos Belatin, dan Pos Balar dari 4 Mbps kepada 10 Mbps secara sementara.

”Pendekatan jangka sederhana ini akan disiapkan dalam suku kedua 2023. Ini adalah penyelesaian sementara, kerana telah terdapat perancangan komprehensif yang sedang berjalan untuk menaiktaraf penggunaan VSAT ini dengan gentian optik yang lebih stabil serta berkapasiti tinggi oleh pihak CelcomDigi.

”Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada usaha SKMM untuk menambahbaik kelajuan perkhidmatan 4G di bawah inisiatif Jendela Fasa 1. Kerja-kerja untuk menaik taraf menara telekomunikasi ini dari VSAT ke gentian optik dijangka siap pada Mei 2024.

Untuk penyelesaian jangka panjang, SKMM dengan kerjasama CelcomDigi sedang meneliti pelan perancangan membangunkan satu menara telekomunikasi berdekatan KOA Pos Bihai dan satu lagi struktur pemancar di KOA Dakoh dengan backhaul gentian optik sebagai penyelesaian tetap bagi memastikan penduduk di kawasan-kawasan terbabit dapat menikmati perkhidmatan mudah alih dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette