Dr Ahmad Parveez Ghulam

BANGI – Strategi kerjasama dengan Indonesia untuk memerangi lobi antiminyak sawit dilihat mampu memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU), kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata, tindakan itu mungkin satu pilihan yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia — negara pengeluar  minyak sawit terbesar dunia — dalam usaha menentang diskriminasi EU terhadap minyak sawit susulan peraturan penebangan hutan baharu yang ditetapkan oleh blok perdagangan tersebut.

Kedua-dua negara melalui Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan cuba mencari cara untuk memberi tekanan kepada EU supaya Indonesia dan Malaysia tidak dibuli sewenang-wenangnya, katanya.

“Sekiranya kita merasakan ia satu pendekatan yang strategik dan boleh membantu, saya rasa kita patut teruskan bersama-sama Indonesia supaya kita tidak sewenang-wenangnya ditekan dengan undang-undang baharu yang sentiasa menyisihkan dan membelakangkan sawit.

“Apabila kita bersatu dan membuat keputusan untuk tidak membekalkan minyak sawit kepada mereka, jadi ia akan memberi kesan dan tekanan sedikit sebanyak kepada mereka supaya mereka lebih rasional dan berlaku adil,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis CEO Day@UKM di sini, pada Sabtu.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mungkin menghentikan eksport minyak sawit ke EU dan mahu menumpukan eksport ke negara lain.

Justeru, Fadillah akan berlepas ke Indonesia pada Februari untuk bertemu rakan sejawatannya dan pihak berkepentingan lain bagi menyusun strategi dan memperkukuh usaha memerangi kesan negatif yang menyelubungi komoditi itu.

Kunjungan tersebut mungkin dilihat sebagai susulan daripada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini.

Kedua-duanya telah bersetuju untuk bekerjasama memerangi diskriminasi terhadap komoditi tersebut.

Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir 80 peratus kepada pengeluaran minyak sawit global.

Eropah ialah pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia yang menyumbang sembilan peratus daripada jumlah eksport.

Menurut peraturan penebangan hutan yang dicadangkan, komoditi seperti sawit yang ditanam atau diternak di atas tanah yang melalui penebangan hutan atau degradasi hutan akan diharamkan daripada memasuki pasaran EU selepas peraturan diluluskan di Parlimen Eropah. – BERNAMA