polemik zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan menterinya sebagai menteri angkat di beberapa negeri.

Bagi Negeri Sembilan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah) dan Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin bagi Terengganu.

Bagi Kelantan, parti melantik Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

“Pulau Pinang, kita lantik Iron Lady kita, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Selangor pula, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Bagi tujuan penyelarasan, Majlis Tertinggi telah bersetuju, Penyelaras Operasi Pilihan Raya Negeri bagi enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” ujarnya semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini petang ini.

Mengenai Majlis Ulama UMNO pula, Ahmad Zahid berkata, parti akan melantik Datuk Dusuki Ahmad sebagai pengerusinya.

“Mengenai cadangan penubuhan Institut UMNO, suka saya mencadangkan Institut ini akan dipengerusikan oleh Prof Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said dan Timbalannya, Prof Datuk Dr. Abdul Mua’ti @ Zambri Ahmad. Kedua-dua Profesor ini adalah ahli Majlis Profesor Negara.

“Ketua Eksekutifnya pula ialah Prof Dr Awang. Manakala Ketua Penyelaras dan Setiausaha Eksekutif, Institut UMNO pula akan disandang oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya.

“Datuk Dr. Puad, segerakan pertemuan, bincangkan term of reference dan cadangan keanggotaan Institut ini. Kita mahu institut ini segera beroperasi.

“Kita mengharapkan lontaran dan dapatan-dapatan idea baharu bagi membolehkan UMNO meneruskan langkah masa hadapan dengan pendekatan segar berdasarkan idea. Kita mahu UMNO tampil dengan gerak kerja yang sesuai dengan denyut semasa, berjaya menangkap imiginasi rakyat dan tahap kebolehpercayaan kepada parti mampu dilonjakkan.

“Kita mahu UMNO mengemukakan dasar dan pendekatan yang yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang timbul kepada negara dan rakyat,” ujarnya lagi.

Bagi negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan ditubuhkan manakala bagi negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan dicadangkan supaya ditubuhkan JPKKP, katanya.

“Keanggotaan ahli JPKK/JPKKP yang dibentuk dicadangkan mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam Kerajaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad berkaitan dasar pelaksanaan JPKK/JPKKP adalah bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri. Saya sendiri akan membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri dengan kadar segera,” tegasnya.

Dalam pada masa yang sama, Ahmad Zahid mahu ahli-ahli parti di peringkat akar umbi perlu menyusun dan mempersiapkan cadangan anggota JPKK/JPKKP.

Ini, katanya, bagi mempercepatkan proses pelantikan sejurus selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Perbincangan segera perlu dibuat dengan rakan-rakan dari parti kerajaan perpaduan di peringkat akar umbi dalam membentuk JPKK/JPKKP bagi menterjemahkan perpaduan dalam kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan TVET juga telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan bagi melaksanakan program berkenaan bagi mengambil kira kelompok desa, separa bandar dan bandar.

“Program-program berimpak tinggi akan dilakukan ke arah meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan lagi modal insan berkemahiran tinggi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.

Program yang akan dilaksanakan ini, akan dikenali sebagai TVET Komuniti yang melibatkan Program TVET Junior, Program TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET, Program TVET Tahfiz, Program Upskilling dan Reskilling TVET serta Program Pendigitalan TVET, dalam rangka usaha KKDW memartabatkan TVET dan memenuhi permintaan pasaran dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat berkemahiran, berdaya saing dan berpendapatan tinggi.

Program-program TVET Komuniti ini akan melaksanakan program-program peningkatan kemahiran berbentuk kemasyarakatan serta dibudayakan secara meluas merentas seluruh demografi masyarakat.- MalaysiaGazette