Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Keahlian Muafakat Nasional (MN) kini mencecah 30,000 orang selepas lebih sebulan permohonan untuk menyertai pertubuhan itu dibuka kepada orang ramai.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan pencapaian jumlah keahlian seramai itu, tiba masanya untuk MN memulakan penubuhan perhubungan negeri dan kawasan.

“Penubuhan Perhubungan negeri akan bermula di Sabah pada 5 Februari ini.

“Ia kemudian akan disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu yang mula membuka keahlian kepada orang ramai mulai 10 Disember dan pada 15 Disember keahliannya mencecah hampir 20,000 orang.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, pertubuhan itu kekal sebagai sebuah NGO dan tidak terbabit dalam gerakan politik.

Sehingga kini, Annuar memaklumkan empat negeri iaitu Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak sudah mempunyai Pengerusi Perhubungan.

“Sukacita saya mengumumkan Pengerusi Perhubungan MN Pahang ialah Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Pengerusi Perhubungan MN Sabah adalah Jasmit Japong, Datuk Zuraida Kamarudin (Selangor) dan Datuk Justine Jinggot (Sarawak),” katanya. – MalaysiaGazette