KUALA LUMPUR – Biarpun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah berakhir, infrastruktur rumah sampah dan masalah perparitan di sekitar kawasan pasar pagi di Taman Greenwood, Gombak, dekat sini, masih tidak selesai.
Lebih menyedihkan, para peniaga serta pengunjung yang hadir terpaksa berdepan dengan bau yang sangat busuk dan meloyakan dari rumah sampah yang tidak diselanggara dengan baik hingga menyebabkan kehadiran haiwan perosak di sekitar kawasan itu.
Rata-rata peniaga yang ditemui sudah muak dan penat ditambah aduan telah dibuat berkali-kali, namun tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Menurut Roby Said, 44, yang mana tapak perniagaannya berada di hadapan rumah sampah itu terpaksa menggunakan kanvas untuk menutup pandangan dan bau sampah setiap kali ingin berniaga.
Katanya, jika musim hujan lebih menggelikan apabila dia terpaksa bergenang dalam air yang kotor dari rumah sampah dan menggunakan kasut boot.
“Saya sudah buat aduan banyak kali pada MPS, saya hantar e-mel daripada tahun lepas sampai tahun ini pun saya hantar. Ada jawapan tapi hanya reply kata kami terima e-mel namun dari segi tindakan tiada.
“Sini kalau musim hujan paling teruk, terutama tapak saya ini berdepan dengan tempat pembuangan sampah ini. Bayangkan saya terpaksa bergenang dengan air sampah ketika berniaga. Sebelum ini mak saya berniaga makanan di sini tak seteruk sangat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah Roby, pembinaan rumah di kawasan itu tidak wajar dilakukan dan ia harus dipindahkan ke lokasi lain kerana mengganggu persekitaran kawasan itu.
“Isu rumah sampah ini sudah lama. Setiap kali ada pilihan raya datang berjanji tapi tiada perubahan. Kalau tengok macam ini, lori sampah datang tapi cuma ambil sampah yang biasa je. Sampah macam kayu, tanah, bahan binaan, pokok termasuk tilam mana ada ambil.
“Ada pernah sekali perut ayam dalam longkang ini, kami terpaksa bertahan berniaga daripada pagi sampai tengah hari dengan bau busuk. Pelanggan kalau bawa anak kecik sambil jalan muntah hingga bertabur sebab bau busuk,” ujarnya.
Bagi Herman Maridus pula, 44, yang sudah berniaga hampir 20 tahun di pasar itu berkata, setiap kali ingin masuk ke tapak pasar dia perlu membersihkan rumah sampah yang berselerak.
Katanya, lebih menjijikkan apabila dia bersama pekerjanya terpaksa membuang sampah yang sudah berlendir dari longkang yang tidak diselenggara setiap kali ingin memulakan perniagaan.
“Kita meniaga di pasar ini seminggu sekali, tapi isu sampah ini memang dah lama sangat sebab bukan orang sini saja buang, saya nampak banyak orang luar longgokkan sampah di sini juga. Ada sampah kelapa lagi.
“Saya juga tak berpuas hatilah sebab mereka kata nak pungut tapi tidak dan kalau tengok tahi pun ada kat sini. Macam mana kami nak berniaga. Kotor sangat sampai pengunjung tengok pun tak nak datang.
“Sampai sekarang walaupun dah PRU, tiada siapa pun datang lihat keadaan ini. Kita sebagai rakyat nak beri komenlah apa yang kami alami. Minta tolonglah penguatkuasa MPS, pantaulah tempat ini sebab sini pengunjung terlalu ramai.
“Kita nak tempat ini bersih sebab nak cari rezeki selepas dari pulih dari Covid. Kata jana ekonomi tapi tolonglah rakyat sekarang. Minta Menteri Besar Selangor turun padang dan pantau kawasan pasar terlalu kotor sangat,” jelasnya dengan penuh kecewa.
Sementara itu, tinjaun MalaysiaGazette di gerai Bazaar MPS Taman Greenwood mendapati, rata-rata pengunjung yang makan di kawasan itu terpaksa menghidu bau busuk dari rumah sampah tersebut.
Mukrik Abu Yamin, 76, yang sudah berniaga di kawasan itu hampir 40 tahun berkata, sejak rumah sampah itu dibina perniagaannya kian terjejas berikutan kehadiran tikus yang banyak selain pelanggan terpaksa menghidu bau busuk daripada longgokan sampah.
“Memang terkesan perniagaan, saya tak suka dengan rumah sampah dekat sini. Ditambah orang awam dan yang jual kelapa akan buang dekat sini. Berlonggok kat situ.
“Kalau boleh pindah atau cari solusi atasi masalah ini. Biar aman sikitlah sebab ada banyak tikus di sana sini. Pengunjung kalau datang tengok pun geli. Bau busuk kalau ada angin lagi kuat, kalau hujan pun sama juga.
“Kita dah buat aduan tapi sama juga tiada apa-apa. MPS memang tidak jaga sangat kebersihannya, hanya tahu datang saman sahaja dekat sini,” jelasnya.
Sebelum ini, MalaysiaGazette pernah melaporkan isu infrastuktur di pasar pagi Taman Greenwood namun sehingga kini ia masih tiada penyelesaian daripada pihak berwajib. – MalaysiaGazette