ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Gara-gara berang dengan sikap anak perempuannya yang bermain dengan telefon pintar sehingga lewat malam, seorang bapa memukul serta mengugut untuk menetak mangsa dengan sebilah parang ketika menasihati beliau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis yang menerima aduan mengenai insiden di Lembah Subang, dekat sini, jam 1.18 tengah hari di Jumaat lalu telah manahan suspek berusia 56 tahun pada hari yang sama.

“Siasatan awal polis mendapati, suspek seorang warga tempatan dan bekerja sebagai pembantu restoran bertindak mengugut anaknya dengan menggunakan sebilah parang pemotong daging.

“Suspek juga sebelum itu bertindak memukul mangsa perempuan remaja berusia 15 tahun itu dengan menggunakan tali pinggang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak daripada laporan polis yang mangsa berkenaan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya telah bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 10.30 malam hari yang sama untuk menahan lelaki tersebut.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di rumah suspek membawa kepada rampasan sebilah parang pemotong daging yang dipercayai digunakan ketika membuat ugutan terhadap mangsa.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek kini ditahan berjaya direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette