Thursday, February 22, 2024
Home Nasional Video azan tular bukan di Malaysia – SKMM

Video azan tular bukan di Malaysia – SKMM

Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan sebuah video yang tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan bukan berasal dari Malaysia.
Hasil siasatan SKMM mendapati, video berdurasi dua minit 27 saat itu berasal dari luar negara dan ditularkan semula seolah-olah ia berlaku di Malaysia.
“Video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang mengancam yang boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat serta boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia.
“Orang ramai juga diminta untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif dan diminta untuk menyalurkan atau melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC berkata, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian, prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara. – MalaysiaGazette