Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya 45 jenis mercun dan bunga api dibenarkan dijual dan digunakan semasa perayaan Tahun Baharu Cina, khususnya pada hari pertama dan hari kesembilan perayaan tersebut.

China Press melaporkan, daripada 45 jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan, 36 jenis boleh dijual dan dimain secara terbuka manakala sembilan jenis lain adalah secara bersyarat.

Ketua Polis Daerah Sentul,  Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menerima arahan bahawa penjaja dan peruncit hanya boleh menjual 36 jenis bunga api dan mercun yang tidak membahayakan, 15 hari sebelum dan selepas perayaan.

Katanya, penjualan juga hanya dibenarkan selepas mendapat permit daripada pihak polis.

Jelasnya, sembilan jenis bunga api dan mercun yang lain pula hanya boleh digunakan oleh individu dan organisasi dalam keadaan mematuhi syarat dan mendapat kelulusan ketua polis daerah.

“Selepas mendapat kelulusan, mereka barulah boleh membeli daripada pengimport yang ditetapkan,” katanya.

Eng Lai justeru menasihatkan orang ramai hanya menggunakan bunga api dan mercun yang dibenarkan, atau berdepan tindakan daripada polis.

Menurutnya lagi, bunga api yang dibenarkan dijual secara terbuka adalah jenis yang selamat dan sesuai digunakan oleh kanak-kanak, tetapi mercun merah dan mercun yang kuat adalah tidak boleh dijual secara terbuka kerana membahayakan.

Tambah Eng Lai, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas beberapa penjaja tepi jalan di sekitar Sentul dan Kepong di ibu negara kerana menjual mercun dan bunga api tanpa permit.

“Bunga api dan mercun yang dijual mereka adalah jenis yang dibenarkan, tetapi mereka tidak mempunyai permit,” katanya.

1 Komen

  1. Tanpa mengira perayaan apa yang diraikan, perlu ada undang2 dan peraturan yang jelas mengenai larangan bermain mercun & bunga api. Contohnya tidak boleh membakar mercun selepas pukul 1 malam kerana ia mungkin menganggu orang sedang tidur atau orang sakit!

Comments are closed.