Keadaan terkini tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM21.1 juta bagi pembaikan cerun di Batang Kali, Hulu Selangor berikutan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas laporan bencana itu dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (MMKN).

“Hasil laporan tersebut, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM21.1 juta bagi pembaikan cerun hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Garis panduan berhubung aktiviti perniagaan serta tapak perkemahan akan diusaha sama oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalankan aktiviti-aktiviti ini,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Pada 16 Disember lalu, tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm mengorbankan 31 individu manakala 61 lagi terselamat.

Selain itu, kerajaan negeri kini sedang melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing Bukit Permai Fasa 2 di Ampang sementara menanti laporan penuh analisa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat siap.

Katanya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan notis kepada penduduk 15 buah rumah supaya dikosongkan kerana kawasan tersebut tidak selamat untuk diduduki akibat pergerakan tanah.

Dalam pada itu, Amiruddin turut memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi Projek Turapan Jalan Raya yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat pada tahun ini.

“Ia akan melibatkan penyelenggaraan serta pelebaran jalan di bawah kelolaan negeri akan dipengerusikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Ir. Izham Hashim,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa komitmen kerajaan negeri untuk membaik pulih, menyelenggara serta menaik taraf fasiliti kemudahan awam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diteruskan.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi Projek Selangor Penyayang Fasa 2 dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap DUN bermula akhir Februari ini.

“Peruntukkan itu turut melibatkan pembinaan satu Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN,” jelasnya. – MalaysiaGazette