KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertekad untuk menghapuskan sekurang-kurangnya 100 tapak pelupusan haram di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia akan dijadikan petunjuk prestasi (KPI) kementerian itu dalam tempoh 100 hari pertama Kerajaan Perpaduan berkuasa.
“Ketujuh-tujuh fokus ini sedang dikenal pasti dan sedang dalam proses. Saya berazam untuk bersihkan sekurang-kurangnya 100 tempat pembuangan sampah haram, setiap hari kita berazam untuk tutup satu.
“Setakat ini memang mengikut jadual apabila kita mencapai sasaran di mana 100 tempat pembuangan sampah sudah ditutup, saya akan turun padang untuk lihat sendiri perkara itu,” katanya selepas merasmikan Program Kesiapsagaan Musim Perayaan dan Kempen Keselamatan sempena Tahun Baru Cina 2023 di Bukit Jalil hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Selain itu, KPKT juga perihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan pihaknya akan memohon bajet tambahan sebanyak RM26.35 juta kepada kerajaan.
Menurut Kor Ming, bajet itu diperlukan bagi pengurusan bencana melalui bajet tambahan bernilai RM26.35 juta bagi memperoleh aset kritikal meningkatkan kecekapan operasi dan penyelamatan ketika bencana.
“Demi melengkapkan lagi peralatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), saya telah berbincang dengan pengurusan tertinggi bahawa kementerian akan memohon bajet tambahan itu dan saya menaruh harapan yang tinggi permohonan bajet tambahan ini akan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette