Fadhlina melawat Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Bandar Tinggi di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU –  Kementerian Pendidikan (KPM) berharap ada peruntukan tambahan bagi sektor pendidikan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan tambahan itu akan disalurkan kepada sekolah-sekolah untuk mengurus serta menyelenggara terutama yang daif di seluruh negara.

Ia bagi usaha melihat tiada lagi sekolah yang terpinggir di Semenanjung  termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Memang keutamaan kita, itu sebab saya kata apabila ia menjadi keutamaan, pastinya dalam belanjawan itu juga tertumpu kepada pembangunan sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Jadi kita memang sentiasa melihat dari semasa ke semasa penambahan itu (peruntukan tambahan) antaranya untuk digunakan mengurus dan menyelenggara sekolah.

“Setiap tahun mesti ada (peruntukan tambahan). Orang ingat Kementerian Pendidikan (guna) perbelanjaan besar, yang sebenarnya yang besar adalah gaji atau emolumen yang selebihnya baru (digunakan untuk) pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Bandar Tinggi di sini hari ini.

Pada tahun lalu,  KPM menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion.

Fadhlina  berkata, lebih 300 sekolah daif seluruh Malaysia dengan 12 daripadanya di Johor.

Selain memfokuskan kepada projek-projek daif, kementerian juga memberi tumpuan kepada penambah baikan kuaters-kuaters guru yang daif bagi keselesaan guru terlibat.

“Secara keseluruhan memang jadi keutamaan kita di KPM melihat kepada isu sekolah daif di negara ini dan itu tujuan kenapa lawatan sebegini digiatkan di setiap negeri. Dalam tujuh aspirasi yang sebelum ini kita umumkan turut menumpukan kepada sekolah-sekolah daif.

“Keseluruhan ‘projek sakit’ kita ada 17 di seluruh negara dan kita sedang memberikan tumpuandi seluruh negara. Sudah pasti ada di negeri Johor yang kita akan kenal pasti dan pastikan ia terus selamat untuk diduduki pelajar dan guru,” katanya.

Dalam siri lawatan kerjanya di Johor Bahru hari ini , beliau turut mengumumkan  peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Sekolah Kebangsaan Perempuan (P) Bandar Tinggi bagi proses membaik pulih bahagian bangunan yang usang di sekolah berkenaan.-MalaysiaGazette