Gambar hiasan. foto Twitter Heathrow Airport

LONDON – Seorang lelaki berusia 60-an ditangkap di bawah undang-undang keganasan selepas kesan uranium ditemui dalam bungkusan kargo di Lapangan Terbang Heathrow.

Polis berkata, lelaki itu ditangkap di Cheshire pada hari Sabtu dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Pegawai Pasukan Sempadan menemui sejumlah kecil uranium dengan penghantaran besi buruk susulan pemeriksaan rutin di Lapangan Terbang Heathrow pada 29 Disember lalu.

Komander Richard Smith, yang mengetuai perintah memerangi keganasan Polis Metropolitan berkata: “Saya mahu memberi penjelasan bahawa walaupun kita melakukan penahanan ini tetapi berdasarkan apa yang kita ketahui sekarang, insiden ini masih tidak boleh dikaitkan dengan sebarang ancaman langsung kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, polis akan meneruskan siasatan mereka untuk memastikan ia boleh disabitkan sebagai kes”.

Lelaki itu telah dibebaskan dengan ikat jamin sehingga satu tarikh pada April, kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, polis tidak menemui sebarang bahan berbahaya lain di tempat lelaki itu ditahan di Cheshire.

Tetapi kesalahan lelaki itu telah dituduh berkaitan dengan pembuatan atau pemilikan bahan radioaktif.

Uranium itu tiba dalam penerbangan dari Oman yang berlepas dari Pakistan, kata News Sky.

Uranium boleh digunakan untuk penjanaan kuasa awam dan tujuan saintifik, juga merupakan bahan utama dalam senjata nuklear.

Isotop tertentu mengeluarkan sinaran yang boleh membahayakan manusia, dan logam itu sendiri adalah toksik jika tertelan atau terhidu.- Agensi