Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

SHAH ALAM – Pas Selangor yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di negeri itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, walaupun cuba dinafikan pihak lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Pas tetap yakin dengan kemenangan itu.

Kata beliau, keyakinan itu bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan faktor yang ternyata menyumbang ke arah itu.

“Sesungguhnya rakyat Selangor sudah muak dengan siri pembohongan dan janji palsu PH dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Calon PH dan BN pula kecundang di enam kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15 yang lalu, malah BN gagal memenangi walau satu kerusi pun.

“PH pula dilihat tidak memiliki kemampuan untuk membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbirannya, tambahan pula apabila mereka sanggup bekerjasama dengan BN yang selama ini mereka serang sebagai kleptokrat dan serba pincang,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Dr. Ahmad Yunus berkata, rakyat Selangor juga masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan dari kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri itu.

Permasalahan itu, katanya termasuk isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahanan, banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.

“Bahkan, rakyat Selangor inginkan sebuah kerajaan negeri berwibawa penuh berintegriti dan dapat membela nasib serta kehidupan mereka, di samping membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri.

“Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji, tetapi gagal membantu serta menangani permasalahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, atas faktor itu dan mengambil kira “Gelombang Hijau” yang membawa kemenangan besar kepada Pas serta PN dalam PRU 15 baru-baru ini termasuk undi dari anak muda, parti itu yakin akan mampu mengambilalih kerajaan negeri bersama PN dengan menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat. – MalaysiaGazette