Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari 2023 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Semua penjawat awam disaran memberi kerjasama dengan berkongsi masalah jika wujud salahlaku dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengakui ia bukan perkara mudah kerana terdapat golongan yang berasa takut dikenakan tindakan sekiranya laporan dibuat oleh mereka.

Namun tegas beliau, budaya ketelusan perlu diamalkan dalam kalangan penjawat awam dalam usaha membawa negara bergerak pantas maju ke hadapan.

“Apa tindakan kita harus telus dan kita belum beri perhatian yang lebih kepada penguatkuasaan. Seperti di Kementerian Kewangan, banyak fail keterlanjuran namun kita tidak boleh salahkan pegawai jika minit mesyuarat daripada perdana menteri sendiri.

“Jadi kalau ada masalah dan jangan simpan walaupun takut kena tindakan seperti ditukar atau ditepukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari 2023 di Dataran Perdana Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Anwar menyeru kerjasama lebih erat antara penjawat awam dan jemaah menteri dalam usaha mewujudkan sistem pentadbiran lebih baik.

Beliau berkata, jemaah menteri dan penjawat awam perlu bertekad membawa perubahan dalam pentadbiran untuk memartabatkan bangsa dan negara.

“Sebab itu, kerajaan mahu Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) perlu terdiri di kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) agar dapat membentuk kerjasama dan keserasian,” katanya. – MalaysiaGazette