Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tahap penggunaan Malaysia dijangka semakin perlahan berikutan pemulihan pasca-COVID-19 yang sebahagiannya yang ditampung oleh pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini tidak dapat diteruskan, kata ODBC Bank.

Ketua Ahli Ekonominya, Selena Ling dalam kenyataan mengenai Tinjauan Ekonomi 2023 berkata, kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2022 memaparkan unjuran bank itu yang terlalu pesimistik dan meningkatkan unjuran pertumbuhan 2022 daripada 5.7 peratus kepada 6.9 peratus.

Bagaimanapun, tahap penggunaan di masa depan mungkin tidak lagi sekukuh angka itu memandangkan paras hutang isi rumah yang tinggi selain kemerosotan wang simpanan di KWSP.

Berikutan itu, OCBC Bank lebih berpendirian berhati-hati mengenai prospek eksport 2023 Malaysia susulan penurunan yang dialami oleh sektor semikonduktor.

“Walaupun peranan Malaysia lebih kepada sektor pengujian dan pembungkusan dalam rantaian nilai sektor semikonduktor berbanding sektor pengeluaran, ini mungkin memberi sedikit sebanyak perlindungan.

“Namun, kesan susulan terhadap sektor ini mungkin lebih dirasai pada 2023, terutama jika kitaran penurunan itu adalah berpanjangan,” katanya.

Malah, sentimen berhati-hati terhadap aspek penggunaan dan eksport 2023 itu hanya menekankan pendirian bank tersebut bahawa pertumbuhan KDNK secara keseluruhannya adalah lebih rendah dan diunjurkan pada paras 4.6 peratus — lebih rendah daripada 6.9 peratus yang dijangkakan pada 2022.

Perkembangan sedemikian,  katanya, akan mengetengahkan landskap dengan cabaran lebih besar untuk kerajaan baharu Malaysia.

“Memandangkan mereka memerlukan sokongan umum, kerajaan mungkin tiada banyak pilihan kecuali melaksanakan dasar fiskal yang agak longgar.

“Dari segi perbelanjaan pula, kami mungkin melihat beberapa langkah dalam belanjawan (Bajet 2023) yang diambil untuk meredakan kenaikan kos sara hidup, termasuk pemberian bantuan tunai. Kemungkinan potongan subsidi pembelian minyak dan makanan juga tidak mungkin dilaksanakan dalam jangka pendek,” katanya.

Menyentuh aspek hasil, beliau berkata perdebatan mengenai pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan kembali ketara berikutan terdapat keperluan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber hasil berasaskan minyak.

“Ramai pemimpin Pakatan Harapan yang tidak bersetuju dengan keperluan melaksanakan semula GST, namun realiti fiskal itu mungkin mengubah (pendirian mengenainya),” katanya.

Selain itu, dari sudut dasar monetari, Ling berkata kebimbangan mengenai inflasi mungkin berterusan pada 2023 dan Bank Negara Malaysia berkemungkinan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas masing-masing pada Januari dan Mac 2023 dan menangguhkannya selepas itu.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan jangka pendek kelihatan positif, Malaysia tidak mungkin terkecuali daripada sebarang tempias akibat kemelesetan ketara di peringkat global.

Di peringkat dunia, beliau berkata tinjauan ekonomi bagi 2023 secara umumnya mengunjurkan bahawa kemelesetan akan berlaku walaupun pertumbuhan global dijangka masih positif iaitu kira-kira 2 peratus secara tahunan.

“Persekitaran ekonomi dan geopolitik masih mencabar dan tinjauan jangka pendek juga agak samar walaupun China telah bertindak membuka ekonominya lebih awal daripada yang dijangkakan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast