Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 orang lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara masih berada dalam depoh tahanan.

Kementerian Luar Negeri berkata, sehingga 16 Januari 2023, kementerian ini telah menerima sebanyak 519 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Daripada bilangan tersebut, seramai 373 orang telah berjaya diselamatkan, yang mana 346 orang telah dibawa pulang ke Malaysia.

Yang terbaharu hari ini, tiga orang lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kesemua mangsa yang berusia di antara 19 hingga 33 tahun telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, kata Kementerian Luar Negeri.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand dan PDRM yang telah bersama-sama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam membantu menyelamatkan mangsa sindiket jenayah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kementerian melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang terlibat bersama dengan PDRM akan terus melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan baki seramai 146 orang mangsa sindiket jenayah ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast