KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenal pasti empat kemungkinan yang menjadi punca pihak tertentu untuk cuba menggodam rangkaian sistem komunikasi pertahanan negara.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata, hasil siasatan mendapati perbuatan yang mungkin dilakukan oleh satu kumpulan atau individu itu, adalah untuk menguji kemampuan teknologi pertahanan siber selain mencuba kemahiran mereka dalam teknologi semasa.

“Penggodam ini mungkin mahu mencuba teknologi yang dibina atau sudah ada dalam pasaran. Kemungkinan juga ada pihak menaja supaya selepas ini mereka boleh menjual sistem perlindungan atau firewall yang lain,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesedaran Satelit di Kompleks Haigate ATM, di sini, hari ini.

Shamsuddin berkata, walaupun setakat ini ATM masih belum mengenal pasti objektif sebenar cubaan godam itu dilakukan, namun tindakan dan usaha untuk meningkatkan sistem pertahanan siber negara sudah pun dilaksanakan.

Menurut beliau, penggodam menggunakan e-mel pancingan dalam cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, cara menggunakan e-mel pancingan boleh berlaku kepada mana-mana pihak, namum ATM sentiasa bersedia menghadapi ancaman tersebut termasuk dengan menguatkan firewall.

“Kami buat tindakan bukan berdasarkan sesuatu yang berlaku, tindakan kita adalah berterusan pada waktu aman, krisis dan perang…perkara ini tidak menjadi kejutan, jadi tidak ada persoalan apabila berlaku kita kelam-kabut buat tindakan, pelan tindakan sentiasa ada,” katanya.

Pada 13 Januari lepas, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang mengesahkan bahawa keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet kekal selamat dan kegiatan penggodam itu telah dikesan awal.

Baru-baru ini kumpulan penggodam baharu yang dikenal pasti sebagai Dark Pink dilaporkan menggunakan e-mel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan sistem pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia, serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.

Terdahulu, Shamsuddin menghadiri program Hari Kesedaran Satelit yang dirasmikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Program selama dua hari yang berakhir esok diadakan bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan aplikasi satelit kepada aspek pertahanan dan keselamatan negara seiring dengan ancaman semasa yang semakin kompleks.

Ia disertai 23 agensi kerajaan dan syarikat swasta, 15 universiti tempatan dan sekolah serta warga ATM. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast