Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Foto MUHD NA’IM, 17 JANUARI 2023.

SEPANG – Kadar literasi keselamatan jalan raya di negara ini belum boleh dibanggakan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurut beliau, kadar tersebut belum mencapai tahap tertinggi berbanding kesedaran orang ramai mengenai pandemik Covid-19.

“Kadar kematian ekoran nahas jalan raya di negara lebih banyak daripada orang meninggal dunia semasa Covid-19.

“Ini faktor yang amat membimbangkan kita tetapi kesedaran orang ramai terhadap kemalangan jalan raya ini tidak sebesar kebimbangan mereka terhadap Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan tahun 2023 di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara hari ini.

Turut hadir merasmikan program sama adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam pada itu, kadar kematian ekoran nahas jalan raya didapati menurun sebanyak 160 kes sepanjang tahun lalu berbanding kadar tahun 2021.

Menurut Anthony, sejumlah 4,379 kematian direkodkan sehingga September tahun lalu.

“Berdasarkan statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga Disember 2021, sebanyak 370,286 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,539 kematian.

“Manakala bermula Januari hingga September 2022, sebanyak 402,626 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,379 kematian,” katanya.

Daripada jumlah kes kematian itu, sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya dengan sebanyak 108 kes kemalangan maut dan 119 kes kematian telah direkodkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baru Cina pada tahun 2022.

“Kadar kematian sebanyak 119 pengguna jalan raya pada tahun 2022 merupakan kadar yang membimbangkan,” katanya lagi.– MalaysiaGazette