Mohamad Sabu (kiri) berjabat tangan dengan Ouyang Yujing.

KUALA LUMPUR – Hubungan baik antara Malaysia dan China akan terus diperkukuh khususnya dalam bidang pertanian moden dan penyelidikan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berkata, China bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam polisi berkaitan pembasmian kemiskinan melalui program pertanian, mewujudkan pasaran komoditi dan rantaian nilai makanan yang mampan serta penggunaan pertanian pintar dalam pengeluaran bijirin.

Mohamad berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ouyang Yujing, Duta Besar China di Malaysia hari ini.

Pertemuan ini adalah merupakan pertemuan pertama bagi kedua-duannya bertujuan bagi membincangkan cadangan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Malaysia dan China.

Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Mohamad berkata, Malaysia berharap agar China akan terus berkongsi kejayaan dengan rakan-rakan dagang bagi mencapai kemakmuran bersama, terutamanya dalam bidang pertanian.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MAFS dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar dan wakil-wakil Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast