Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu pekeliling peringatan semua pengurus sekolah berkaitan pematuan Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah yang sedang berkuat kuasa.

KPM berkata, surat itu telah diberikan pada 29 Disember tahun lalu menetapkan tatacara pengeluaranm wang tunai tersebut.

“Garis Panduan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ini juga telah menetapkan tatacara pengeluaran wang tunai dari bank oleh pihak sekolah untuk jumlah melebihi RM10,000 mestilah dalam keadaan selamat dengan perkhidmatan polis pengiring,” kata KPM dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini, menterinya, Fadhlina Sidek berkata terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam kejadian di Beranang, Selangor, semalam.

Ia berdasarkan kepada maklumat awal yang diterima pihaknya yang mana kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya dalam perkara-perkara yang melibatkan prosedur dan tatacara kewangan.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau tidak akur kepada arahan yang telah ditetapkan,” kata KPM.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bos guru besar tu pun ada 10 tahun pengalaman tak semak sama ada SOP dipatuhi atau diingkari sambil goyang kaki cukup bulan sign gaji besar jer.

Comments are closed.