sektor
V. Sivakumar

KUALA LUMPUR – Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing akan dilaksanakan bagi lima sektor atau subsektor yang kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, pelaksanaan pelan tersebut bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing di sektor-sektor kritikal.

Menurut beliau, majikan di bawah kelima-lima sektor atau subsektor tersebut boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta merta.

“Kementerian Sumber Manusia akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.

“Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs adalah dikecualikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sivakumar memberitahu, majikan yang telah membuat permohonan penggajian pekerja asing dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum 17 Januari 2023 dimohon untuk mengemukakan semula permohonan baharu dalam Modul FWe Approval bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ini.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8885 2939/2940. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast