KUALA LUMPUR – Biasanya program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sering dianjurkan melibatkan sumbangan barangan keperluan kepada golongan tidak bernasib baik.
Namun satu video yang memaparkan kelainan aktiviti CSR di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor baru-baru ini tular di media sosial dan mendapat pujian netizen.
Ini kerana penganjur aktiviti tampil dengan idea baharu iaitu menyantuni dan memberi pengalaman baharu kepada warga emas di rumah kebajikan itu dengan mendandan rambut penghuni tersebut.
Usahawan dan pemilik bersama salun ChezKamya Professional, Erna Elliyana Rosli berkata, objektif pihaknya adalah untuk memberi pengalaman baharu kepada mereka untuk merasai sentuhan dandanan rambut dari pakar dandan salunnya.
“Selalunya Chez Hamdan menata rias rambut selebriti seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi tapi kali ini kita buat gaya baharu buat warga emas pula.
“Sekurang-kurangya ada kelainan berbanding kebiasaan aktiviti yang kita dilakukan di ChezKamya Professional,” katanya di media sosial miliknya.
Video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter meraih lebih 100,000 tontonan dan ratusan komen di platform terbabit.
Erna turut berkongsi beberapa pengalamannya ketika bertemu dengan beberapa warga emas yang sangat positif dan bersikap terbuka.
Dia yang bekas pelakon bertemu wanita dikenali Cikgu Maimunah yang merupakan seorang balu namun tidak mempunyai anak.
“Masa dia dihantar oleh anak saudaranya, dia berada dalam keadaan lumpuh dan perlu dapatkan terapi serta makan ubat. Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT dan berkat usahanya serta tawakal kepada Allah SWT dan dia kembali sihat.
“Di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ini selain ada bekalan perubatan yang disubsidi dari kerajaan dan ada kakitangan terlatih untuk menjaga mereka, mungkin itu salah satu sebab saya rasa ada segelintir anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke sini supaya kesihatan dan aktivti seharian dapat dipantau.
“Itu dari sudut positif yang diceritakan namun saya percaya ada juga kisah sebaliknya di mana segelintir penghuni yang dibuang anak-anak oleh kerana faktor keuzuran, harta atau kisah itu tidak diceritakan kepada kami kerana sebahagian besar mereka mengalami masalah Alzheimer,” katanya.
Namun Erna mengakui dia sama sekali tidak menyokong tindakan anak-anak muda menghantar ibu bapa ke rumah orang tua kerana semua anak perlu menghargai jasa mereka.
“Mereka sejak kecil sudah bersusah payah untuk menjaga, hantar sekolah dan beri makan. Tak wajar kalau kita tidak bersusah payah untuk menjaga mereka sekarang. Adakah ini pengakhiran yang kita mahukan bila kita sudah tua? Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak melakukan sedemikian kepada kita,” katanya.
Dalam video berdurasi sembilan minit yang dikongsikan, Erna turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa. – MalaysiaGazette