Hadin Azman. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Status sebagai bapa pada tahun ini menjadi semangat baharu buat pemain tengah Penang FC, Hadin Azman yang mahu membantu pasukan itu bangkit semula di pentas Liga Super 2023.

Bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu baru sahaja menimang cahaya mata sulung pada awal Januari lalu sambil menyifatkan ia sebagai permulaan yang manis untuk memulakan musim 2023 dengan lebih baik bersama Penang.

Mengakui musim 2022 bukanlah yang terbaik untuknya namun sudah pasti dia tetap mengingati kenangan indah bersama Kuala Lumpur sejak musim 2021 sehingga berjaya menjulang trofi Piala Malaysia.

Dan kini bersama Penang, Hadin mahu memastikan pasukan ini mampu untuk meraih sesuatu yang lebih cemerlang selepas mengharungi musim getir pada tahun lalu sehingga menduduki kedudukan tercorot Liga Super 2022.

“Alhamdulillah saya sudah 12 hari bergelar bapa dan diharapkan dengan kehadiran cahaya mata ini dapat membuka lebih banyak rezeki untuk saya sekeluarga.

“Insya-Allah saya nak bangkit pada tahun ini dan mana tahu kalau ada rezeki dapat kembali mencuri tumpuan diserapkan ke skuad kebangsaan semula.

“Apa pun, tujuan saya ke Penang adalah untuk membantu pasukan ini selain saya sedar masih banyak kekurangan saya tahun lepas dan saya fikir bersama Penang adalah keputusan terbaik untuk mendapatkan kembali persembahan saya.

“Saya akan cuba memberikan sehabis baik untuk sekurang-kurangnya membawa Penang dalam kelompok enam terbaik liga,” katanya.

Dalam masa sama, Hadin yang telah meraih dua jaringan pada tahun lalu turut mengharapkan dia mampu untuk mendapat tempat di hati kalangan penyokong skuad Harimau Kumbang sepanjang musim ini.

Apa yang penting sekarang adalah untuk mendapatkan keserasian yang lebih baik terutamanya dalam perlawanan-perlawanan persahabatan akan datang.

“Saya pun masih baru lagi dan tidak sempat lagi nak sertai aksi persahabatan sebelum ini sebab baru menimang cahaya mata, jadi agak lambat sikit nak sesuaikan diri.

“Yang penting Insya-Allah saya memang berharap nak dapatkan sokongan penuh daripada penyokong Penang dan tiada masalah untuk saya segera dapatkan keserasian di sini selepas ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette