SEPANG – Tindakan syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia menurunkan kadar tambang per kilometer bagi penghantarnya adalah keputusan yang dibuat syarikat tersebut.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, keputusan itu adalah keputusan komersial yang diambil mereka.
“Itu keputusan komersial (turunkan kadar tambang) Grab. Kita belum ada apa-apa maklumat lagi.
“Saya akan minta SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) untuk berbincang dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Grab,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kedua-dua mereka sebelum ini merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan tahun 2023 di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara, hari ini.
Dalam laman webnya, Grab memaklumkan, tambang per km akan diturunkan sambil tambang per min dinaikkan, oleh itu tambang keseluruhan akan lebih kurang sama.
“Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 16 Januari 2023,” kata Grab.
Grab turut menjelaskan pihaknya kini mengambil langkah yang ketara untuk memastikan penunggang syarikat tersebut menerima pampasan berpatutan untuk masa anda.
Kata Grab lagi, penunggang akan melihat pampasan yang lebih sesuai semasa waktu puncak, dan perjalanan anda dari pickup hingga ke dropoff akan lebih berbaloi dengan insentif baru.
Ia diterangkan di laman webnya berjudul ‘Pampasan berpatutan untuk waktu puncak – Lembah Klang’.
Dalam penerangan itu, Grab menaikkan kadar tambang per minit dari RM0.20 kepada RM0.43.
Sementara tambang per kilometer pula diturunkan dariada RM0.70 kepada RM0.25 sen.
Untuk rekod, Ogos tahun lalu, Grab Malaysia menjelaskan bahawa syarikat itu tidak pernah menurunkan kadar pembayaran untuk rakan penghantar mereka.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan yang ditimbulkan oleh rakan penghantarnya ketika ini adalah disebabkan oleh gangguan dalam sistem Grab Malaysia yang dialami oleh salah seorang rakan penghantar apabila dia menyedari terdapat percanggahan dari segi jumlah pembayaran. – MalaysiaGazette