Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said beramah mesra bersama peserta selepas hadir ke Bengkel Reformasi Institusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) bersama Kementerian/Jabatan Dan Cso/Ngo Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Aiac), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh berterusan mewarisi pelbagai undang-undang sejak zaman penjajahan British, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi Institusi) berkata, ada ketikanya Malaysia perlu menyemak semula undang-undang seperti Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-undang Sivil 1956 dan Akta Fitnah 1957 dari semasa ke semasa.

Ini, katanya, bagi memastikan undang-undang itu sesuai dengan perkembangan sains, teknologi dan keperluan semasa.

“Sebagai contoh, cubaan bunuh diri adalah kesalahan jenayah yang diimport oleh penjajah British melalui Indian Penal Code.

“Kita tahu United Kingdom (UK) telah memansuhkan kesalahan tersebut pada tahun 1961 tetapi Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih kekal dalam undang-undang kita.

“Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental. Oleh itu, saya komited untuk menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Kementerian dan Jabatan serta CSO/NGO di sini hari ini.

Justeru, kata Azalina, terminologi dalam undang-undang dapat membentuk persepsi umum sekali gus mempengaruhi tingkah laku masyarakat mengenai sesuatu isu.

Ujarnya, jika suatu terminologi perundangan mempunyai konotasi negatif maka ia mungkin menyebabkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap komuniti tertentu.

“Misalnya perkataan dumb witness dan idiot masih diguna dalam Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan. Saya berpendapat penggunaan terminologi bukan perkara yang kecil tetapi harus diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses semakan undang-undang.

“Pada era Revolusi Industri 4.0 dan pasca pandemik Covid-19 ini, daya persaingan ekonomi Malaysia perlu dipertingkatkan bukan sahaja dari segi infrastruktur maklumat, tetapi juga kerangka undang-undang,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, Akta Profesion Undang-Undang 1976, Akta Jualan Barang 1957, Akta Kontrak 1950 dan Akta Insolvensi 1967 akan disemak semula.

Mengenai bengkel sehari itu, beliau berkata, pelaksanaan cadangan reformasi institusi bukan hanya untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan sahaja.

Sebaliknya, secara langsung merupakan kunci utama ke arah pemulihan ekonomi negara daripada pelbagai krisis global seperti penularan pandemik Covid-19.

“Oleh itu, sesi bengkel ini amat signifikan selaras dengan komitmen yang telah saya nyatakan semasa majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 pada 12 Disember 2022 berkaitan cadangan penubuhan “Pasukan Petugas Khas (PPK) mengenai Reformasi Institusi”.

Katanya, tujuan penubuhan PPK adalah untuk meneliti, mengkaji dan mencadangkan reformasi institusi termasuk mekanisme pelaksanaan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Ciri-ciri unik Pasukan Petugas Khas ini ialah keahliannya juga termasuk pihak-pihak berkepentingan seperti wakil CSO/NGO dan bagi memastikan penglibatan yang bermakna daripada pihak-pihak berkepentingan.

“Berdasarkan penelitian awal BHEUU, JPM terhadap Report of the Institutional Reforms Committee (IRC) yang disedia Jawatankuasa Reformasi Institusi pada tahun 2018 serta input awal daripada CSO/NGO mengenai reformasi institusi beberapa aspek reformasi telah dikenal pasti,” katanya.

Antara aspek itu ialah semakan dan pengemaskinian undang-undang lapuk; institusi, Integriti dan Governans; dan sistem Keadilan Jenayah dan Hak Asasi Manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast