Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin semasa membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan (TSK) bagi kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengerakkan seramai 313 orang anggota penguatkuasanya akan dalam Ops Bersepadu Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi bersepadu itu turut disertai pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Ini berikutan negeri ini merupakan pintu masuk ke negeri-negeri lain di Pantai Timur dan dijangkakan jumlah kenderaan yang akan membanjiri jalan raya akan bertambah menjelang hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan bagi kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin

Tambah Kamarul, pihaknya telah mula mengadakan Pra Ops TBC, bermula daripada 14 sehingga 17 Januari 2023 yang melibatkan pemeriksaan bas ekspres di dua buah depoh dan tiga terminal bas utama di seluruh negeri bagi tujuan memastikan bas ekspres sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Seperti setiap tahun, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan mulai dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan bagi lori, treler iaitu pada 20 dan 21 Januari serta 24 dan 25 Januari 2023,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya bahawa terdapat tujuh kesalahan lalu lintas utama yang tidak boleh dikompaun telah dikuatkuasakan sempena Ops Bersepadu dan kempen pada tahun ini.

“Ia meliputi kesalahan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

“Semua kesalahan ini tidak boleh dikompaun. Semua perlu diselesaikan di Mahkamah,” tegas Kamarul.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan (TSK) bagi kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 semalam, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara telah dikurangkan sebanyak 10 km/j menjadikan had laju Jalan Persekutuan daripada 90 km/j menjadi 80 km/j.

Manakala bagi Jalan Negeri pula, berkuatkuasa mulai 18 hingga 27 Januari 2023, pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju 70 km/j berbanding 80 km/j sebelumnya.

Selain itu, JPJ Pahang juga akan terus memantau secara serius kawasan kerap berlaku kemalangan iaitu di 34 lokasi seluruh negeri untuk mengurangkan jumlah kemalangan semasa tempoh perayaan ini.

“Semua pengguna lebuh raya adalah dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perialanan dan papan tada arah yang disediakan semasa melalui semua jalan raya dan plaza tol bagi memastikan kelancaran trafik.

“Rancang perjalanan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang akan dikeluarkan oleh syarikat- syarikat konsesi dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar pengguna jalan raya dapat menjadi sebahagian daripada anggota penguatkuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas sepanjang tempoh Ops Bersepadu dan menyalurkan aduan menggunakan Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan e mel JPJ [email protected]. – MalaysiaGazette