Poster filem Pulau - Sumber internet

KUALA LUMPUR – Lembaga Penapis Filem (LPF) digesa membatalkan kelulusan filem Pulau yang dijadualkan tayangannya pada 9 Mac ini kerana memaparkan adegan panas dan pelakon yang berpakaian kurang sopan.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap pihak produksi dan para pelakon terlibat dalam babak tidak senonoh.

“Kebebasan berkarya perlu mengekalkan ketinggian budaya tempatan dan agama.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana filem yang mempromosikan adegan yang melampau, lucah dan berlawanan dengan budaya ketimuran,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

filem Pulau
Ahmad Marzuk Shaary

Sedutan filem Pulau yang ditayangkan dalam YouTube baru-baru ini mengundang kritikan daripada netizen yang kesal dengan adegan panas yang dipaparkan termasuk babak wanita memakai bikini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberitahu, ramai penggiat filem di negara ini berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan adegan panas.

Ahmad Marzuk menambah, sebelum ini, seorang aktor terkenal pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana memuat naik rakaman video yang mengandungi aksi-aksi lucah.

“Maka, kita tidak boleh berdiam diri dan peluk tubuh membiarkan normalisasi dosa ini membarah dalam negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette