KANSER serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dihadapi golongan itu selepas kanser payudara dan usus besar. - Gambar hiasan.

SEBENARNYA wanita negara ini tidak menyedari kanser serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dihadapi golongan itu selepas kanser payudara dan usus besar.

Hakikatnya penyakit ini agak serius kerana ia merangkumi 12 peratus daripada semua kanser yang dihadapi wanita.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Hasna Hamzah berkata, kanser serviks ialah sejenis kanser yang berlaku pada serviks wanita dan boleh merebak ke bahagian yang lain.

Dr Hasna Hamzah

“Kebiasaannya, kanser ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal namun simptom paling biasa dialami ialah pendarahan faraj luar biasa yang boleh berlaku selepas hubungan seks.

“Gejala lain termasuklah lelehan dari faraj (lelehan berbau busuk, atau bercampur darah). Pesakit boleh mengalamai pelbagai simptom lain apabila sel-sel kanser telah merebak ke tempat lain (sakit belakang, kaki bengkak, kencing berdarah dan symptom-simptom yang lain).

“Penyebab utama kanser serviks ialah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). HPV turut menjadi faktor relevan dalam kanser anogenital lain (anus, vulva, vagina dan zakar) dan kanser kepala serta leher,” katanya baru-baru ini.

HPV 16 dan 18 ialah strain yang bertanggungjawab bagi kira-kira 70 peratus semua kanser serviks di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasna memberitahu, HPV sering disebarkan semasa persetubuhan faraj atau dubur.

“Wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks juga berisiko terdedah dengan kanser serviks. Bagaimanapun, perubahan sel dalam serviks boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan dapat mengurangkan risiko perkembangan kanser serviks,” kata Hasna.

Dalam pada itu, Hasna berkata, pelbagai program kesedaran kesihatan berkaitan kanser serviks telah dilaksanakan di negara ini seawal bangku persekolahan.

“Vaksin HPV diberikan secara percuma kepada pelajar berumur 13 tahun sebagai langkah perlindungan pertama daripada kanser serviks yang berpotensi mengurangkan kejadian kanser anogenital yang lain.

“Suntikan vaksin merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang menghalang kemasukan atau jangkitan virus HPV kepada wanita tersebut.
“Vaksin tersebut mampu memberi kesan optimum pada wanita yang tidak pernah terdedah pada hubungan seks.

“Sebaiknya wanita memulakan ujian saringan kanser serviks (melalui ujian Pap Smear) sebaik sahaja ada melakukan hubungan seks,” ujarnya.

Sampel yang diambil pada bahagian serviks akan dihantar ke makmal untuk diperiksa.

Kata Hasna, kehadiran sel-sel kanser yang tidak normal dapat dikenalpasti melalui ujian pap smear.

Pelbagai langkah pencegahan mampu menyelamatkan wanita dari mengalami kanser serviks. Mencegah lebih baik dari merawat.
Apakah rawatan untuk kanser serviks.

1) Pembedahan
– Conization iaitu membuang tisu yang luar biasa.
– LEEP menggunakan elektrik melalui cangkuk dawai yang halus. Tisu dibuang menggunakan cangkuk dan boleh digunakan untuk membuang microinvasive barah pangkal rahim.
– Hysterectomy merupakan pembedahan membuang rahim dan pangkal rahim.

2) Radioterapi sekiranya pesakit tidak sesuai untuk pembedahan.

3) Kimoterapi bertujuan membunuh sel barah dengan menghalang sel barah daripada bertambah.

4) Rawatan paliatif bagi mengurangkan sakit dan gejala penyakit yang lain. – MalaysiaGazette