Muhammad Firdaus melihat pemeriksaan bas ekspres dilakukan penguat kuasa JPJ selepas mengetuai Ops Depoh Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Depoh Ekspres Delima di Taman Malim Jaya, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM100,000 terhadap 337 kesalahan dilakukan pelbagai kenderaan dalam Operasi Pra Tahun Baharu Cina (TBC) selama empat hari bermula Ahad lalu.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam operasi itu, sebanyak 1,004 kenderaan diperiksa bagi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pematuhan terhadap undang-undang.

Menurutnya, kesalahan tertinggi dilakukan adalah berkaitan lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans sebanyak 114 kes serta lesen memandu yang mencatatkan 113 kesalahan.

Lain-lain kesalahan teknikal sebanyak 41 kes, cermin gelap (23), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (14), lebih muatan (6) dan kesalahan lain sebanyak 26 kes.

“Kadar kompaun adalah berbeza-beza namun secara dianggarkan jumlah keseluruhan kompaun dikenakan adalah RM101,100 mengambil kira purata RM300 bagi setiap kes daripada 337 kesalahan dilakukan,” katanya.

Muhammad Firdaus Shariff

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ops Depoh Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Depoh Ekspres Delima di Taman Malim Jaya di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, Ops Depoh bertujuan memastikan kenderaan awam sentiasa dalam keadaan selamat serta mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pemeriksaan juga bagi memastikan bas-bas ini tiada saman tertunggak selain fokus pemeriksaan kepada aspek teknikal kenderaan seperti brek, tayar, lampu, pembalik cahaya dan dokumen kenderaan serta pemandu.

“Di Melaka, kita mempunyai enam depoh bas dan setakat ini pemeriksaan terhadap semua 28 buah bas ekspes mendapati tiada kesalahan dilakukan,” katanya.

Tambahnya, selain pemeriksaan depoh, operasi penguatkuasaan akan terus dilakukan di terminal-terminal dan pintu-pintu masuk utama negeri bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas mematuhi undang-undang ditetapkan. – MalaysiaGazette