Deretan kenderaan apabila Anggota Polis membuat pemeriksaan keatas kenderaan pada sekatan jalan raya Ops Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 9 bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan penguatkuasaan di 23 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri itu sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC) yang bermula hari ini.

Pengarahnya Datuk Khairul Khar Yahya berkata, antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Selat Klang Utara, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Jalan Meru dan Jalan Bukit Kemuning.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan yang bermula hari ini hingga 27 Jan itu akan melibatkan 325 anggota JPJ.

“Penguatkuasaan dalam operasi ini memfokuskan sembilan kesalahan utama dan lima kesalahan tambahan termasuk memandu melebihi had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan memandu secara berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op TBC di Terminal 17, Seksyen 17, di sini malam ini.

Selain itu, Khairul Khar berkata antara aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan ialah melakukan penyamaran sebagai penumbang bas, pemeriksaan terminal serta depoh bas, penguatkuasaan khas motosikal, pengurusan aduan dan advokasi.

“Hasil penyamaran sebelum ini mendapati ada pemandu bas yang merokok, tidak memakai kasut dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, malah kita juga pernah mengesan pemandu bas yang bermain ‘games’ semasa memandu. Perbuatan itu amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Menurutnya orang awam boleh membuat sebarang aduan berkaitan dengan menghubungi JPJ Selangor di talian 03-55669442 atau emel [email protected]. – BERNAMA