NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah baik proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan termasuk memasukkan terus ke dalam akaun bank murid atau ibu bapa mereka supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya juga mengambil maklum semua cadangan yang dikemukan pelbagai pihak berhubung proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan itu sebanyak RM150 bagi setiap murid.
“Kita ambil maklum semua cadangan cuma proses pembayaran bantuan awal persekolahan itu ada prosedur operasi standard (SOP) dan bahagian kewangan telah tentukan bagaimana proses itu berlaku.
“Setakat ini kita kekalkan dulu dengan proses yang sedia ada tapi kami akan tambah baik dari semasa ke semasa…termasuk cadangan pembayaran terus ke akaun mereka (murid atau ibu bapa) pada tahun-tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 103 warga emas di Perkampungan Jawi, di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi Jason H’ng Mooi Lye.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan daripada bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang mahu pembayaraan bantuan awal persekolahan seeloknya dimasukkan terus ke dalam akaun bank murid supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.
Radzi dilaporkan berkata cadangan itu supaya isu samun melibatkan wang berkenaan tidak berulang lagi pada masa depan, malah pendekatan memasukkan terus bantuan berkenaan ke akaun bank murid atau ibu bapa dapat meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa banyak pihak.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata ketika ini pihaknya masih perlu melakukan proses pemberian wang bantuan awal persekolahan itu secara bersemuka kerana mengambil kira terdapat ibu bapa yang tiada akaun bank.
“Memang ada makluman ibu bapa yang tiada akaun bank sebab itu kita masih guna cara kovensional ini tapi kita ambil maklum cadangan-cadangan yang dikemukan untuk tambah baik perkara itu demi kepentingan semua,” katanya.
Isu cara pembayaran bantuan awal persekolahan timbul selepas seorang guru besar berputih mata apabila wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih dalam kejadian 10 pagi Isnin lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.- BERNAMA
jidin.. jidin.. dh tak jd menteri baru nk cadang itu ini.. dulu tak de pung…
Sudah terhantuk baru tergadah. Siapakah boss kepada guru besar yang tak menyemak sama ada guru besar berkenaan patuh atau cuai SOP pengiring selama 10 tahun?