KYIV – Menteri Dalam Negeri Ukraine, antara 18 individu terbunuh dalam nahas helikopter yang turut mengorbankan timbalan menteri pertama dan setiausaha kerajaan negara.
Helikopter yang membawa Denys Monastyrsky, 42, terhempas di sebelah sebuah taska dan bangunan kediaman dekat Brovary.
Sembilan mangsa yang terbunuh itu adalah penumpang pesawat manakala sembilan lagi adalah mangsa yang berada di lokasi nahas termasuk tiga kanak-kanak.
Monastyrsky adalah mangsa paling terkenal di Ukraine sejak perang bermula.
Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Kyrylo Tymoshenko, berkata, menteri itu sedang dalam perjalanan ke “tempat panas” perang apabila helikopternya terhempas.
Namun, setakat ini helikopter itu terhempas disebabkan kemalangan.
“Kawasan sangat berkabus dan tiada elektrik, dan apabila tiada elektrik, tiada lampu pada bangunan,” menurut penduduk di lokasi nahas.
Monastyrsky adalah ahli terkemuka Kabinet Presiden Volodymy Zelensky yang memainkan peranan penting dalam mengemas kini tentang jumlah korban yang disebabkan oleh serangan peluru berpandu Rusia sejak Ukraine diceroboh pada Februari 2022.
Media Ukraine melaporkan, terdapat enam pegawai kementerian dalam helikopter itu termasuk tiga anak kapal.
Timbalan menteri pertama, Yevhen Yenin meninggal dunia bersama-sama dengan setiausaha negara, Yurii Lubkovich, yang tugasnya mengatur kerja kementerian. – Agensi