Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khanmengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur Command And Control Centre (KLCCC), DBKL semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjadikan Kuala Lumpur  bandaraya pintar dan selamat.

Ia termasuk kawalan keselamatan, trafik dan inisiatif bantuan awal yang terkini dan sistematik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata,  langkah ini secara tidak langsung dapat memastikan warga kota dan para pelancong berada dalam keadaan selamat.

“Saya menyambut baik inisiatif pemasangan 5,000 CCTV (kamera litar tertutup) pintar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan awam sebagai sebahagian daripada transformasi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pintar.

“Diharapkan pemasangan CCTV ini dapat ditambah dari semasa ke semasa supaya pemantauan keselamatan ini dapat dipertingkatkan.

“Saya berharap lebih banyak bandar dan negeri di Malaysia akan menerima pakai sistem dan teknologi seperti ini kerana saya percaya ia akan meningkatkan keselamatan awam dan menjadikan Malaysia lebih selamat untuk dikunjungi pelancong luar mahupun penduduk tempatan,” jelas Khairul Firdaus.

Beliau berkata demikan selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur Command And Control Centre (KLCCC), DBKL semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan pegawai kanan MOTAC, Norazman Othman, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Sistem pengawasan video pintar ini disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan analitik kandungan video yang dapat meningkatkan kawalan keselamatan orang ramai di bandar raya ini.

Malah ia juga telah diinovasikan dan dibina oleh penyedia bandar pintar tempatan.

Persiapan itu seiring dengan sasaran ketibaan pelancong asing lebih 15.6 juta orang dengan nilai pendapatan sebanyak RM47.6 bilion pada tahun 2023.

“Satu faktor penting untuk memastikan MOTAC mencapai sasaran ini ialah dengan membolehkan pelancong berasa selamat apabila mereka melawat Malaysia.

“Sekuriti dan Keselamatan Awam merupakan faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan industri pelancongan di Malaysia,” jelas Khairul Firdaus lagi. – MalaysiaGazette