Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Khairy Jamaluddin dicabar untuk bertanding jawatan Naib Presieden UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membuat cabaran itu berkata, pertandingan ketiga-tiga mereka bukan sahaja dinantikan oleh ahli tetapi juga oleh pihak luar.

Menurutnya, rakyat ternanti-nantikan pertembungan epik tersebut kerana mahu tahu tahap populariti mereka.

“Mungkin Ismail Sabri boleh bersedia mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sekarang. Hishamuddin pun boleh juga test market adakah dia benar-benar popular dalam kalangan ahli akar umbi dan perwakilan.

“Khairy pula boleh juga cuba nasib di kerusi Naib Presiden itu selepas pernah kalah dalam perebutan kerusi Presiden pada 2018 lalu,” katanya.

Nur Jazlan membuat cabaran tersebut selepas isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO masih diperkatakan walaupun perwakilan bersetuju supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Beliau juga secara sinis menyindir Ismail Sabri yang membantah tidak diadakan pertandingan walaupun dalam perhimpunan bangun berdiri untuk menyokong usul yang dibawa perwakilan.

“Sepatutnya kalau sudah setuju duduk diam saja dan kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong.

“Saya dapat rasa sebenarnya dia tak puas hati sebab dia satu-satunya Naib Presiden yang tak dipilih untuk jadi menteri angkat kepada negeri-negeri yang akan terlibat dengan PRN nanti.

“Bila Presiden UMNO sebut nama Khaled dan Mahdzir tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat. Mungkin presiden sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi PM dulu,” kata Nur Jazlan.

Sementara itu, Nur Jazlan mendakwa, isu pemilihan dalaman parti tidak mempengaruhi sokongan rakyat.

Ini kerana rakyat tahu ia adalah isu dalaman atau masalah rumahtangga parti sahaja selain tidak mahu pening memikirkan masalah orang lain.

“Jadi hakikatnya, rakyat tak peduli pun apa yang berlaku dalam UMNO sebab mereka tahu mereka bukan ahli dan tak boleh mengundi untuk menentukan pucuk pimpinan UMNO.

“Usahlah nak guna alasan yang dangkal demi menegakkan benang yang basah.

“Bagi mereka yang terus mempertikaikan keputusan perwakilan yang menyokong jawatan presiden dan timbalan tak dipertandingkan, adakah kamu nak cakap perwakilan yang hadir ini tak bijak?” soal Nur Jazlan.

Beliau menegaskan, isu tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sepatutnya sudah selesai dan tak perlu diungkit lagi.

Perwakilan sudah membuat keputusan dan ia perlu dihormati dan diterima.

Katanya, polemik yang tidak menguntungkan UMNO itu perlu ditamatkan dan memberi fokus terhadap enam pilihan raya negeri yang akan berlangsung nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Datuk Nur Jazlan Mohamed tak perlu jadi kaki bodek atau pengampu dalam cubaan memecahkan parti.Walaupun kamu anak tok mat mantan menteri penerangan tetapi kekalahan kpd Saluhuddin menunjukan Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak disukai pengundi Pulai amnya.
    Kalau ikut semasa perhimpunan UMNO baru-baru ini UMNO JOHOR mahukan pemilihan semua peringkat supaya demokrasi hidup.
    #NurJazlanMohamed

Comments are closed.