Home Nasional Pasangan kekasih lari sejauh 130km dari polis berjaya ditahan

Pasangan kekasih lari sejauh 130km dari polis berjaya ditahan

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih yang mengelak dari pemeriksaan polis dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sejauh 130 kilometer (km) berjaya ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu, lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 20 dan 18 tahun berada di dalam sebuah kereta Proton Persona diparkir di kawasan rekreasi Adda Height di sini.

Beliau berkata, ketika anggota polis yang membuat rondaan ingin membuat pemeriksaan, kedua-dua suspek warga tempatan itu cuba melarikan diri.

“Suspek terus mengundurkan keretanya dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) polis sebelum melarikan diri serta telah dikejar sejauh kira-kira 130km.

“Sebanyak enam buah MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS dan empat MPV dari IPD Johor Bahru Utara (JBU)  turut membantu untuk menahan pasangan terbabit sehingga di KM 76.6 lebuh raya Johor Bahru-Ayer Hitam, sebelum mereka ditahan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan berkenaan melarikan diri kerana sedang berdua-duaan di dalam kereta dan terkejut apabila melihat kereta peronda polis menghampiri kenderaan mereka.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton Persona, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM168.

“Kedua-dua yang ditahan telah dibenarkan untuk direman oleh Majistret Mahkamah Johor Bahru di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu),” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 15 saat di laman Facebook memaparkan kejadian melibatkan beberapa kereta polis mengejar sebuah Proton Persona di Jalan Skudai di sini. – BERNAMA