KUALA LUMPUR – Pemilik kapal serta ahli keluarga anak kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lepas akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab soalan mengenai kehilangan kapal itu.
“Antara yang akan ditanya ialah mengenai keadaan keselamatan kapal itu sebelum belayar dan kebajikan anak kapal termasuk sebab laporan mengenai kehilangan kapal berkenaan hanya dilaporkan pada 9 Januari sedangkan ia sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lepas,” katanya kepada Bernama.
Pada 9 Januari, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari yang sama.
Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari telah ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia pada 14 Januari, selepas semua usaha yang dilaksanakan tidak menemukan sebarang petunjuk.
Mohd Zubil juga berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun membawa muatan batang paip pada hari berkenaan. – BERNAMA