Mohd Irfan Hakimi sila pulang segera

SERDANG – Polis giat mengesan dan menjejaki seorang penuntut Universiti Putra Malaysia, Mohd Irfan Hakimi Azhar,22, yang dilaporkan hilang sejak 13 Januari yang lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, bapa mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam selepas tidak dapat menghubungi anaknya.

Bapa pelajar itu telah menghubungi anaknya kira-kira jam 9 pagi pada 13 Januari untuk bertanya khabar.

”Namun, pengadu mula bimbang apabila tidak menerima sebarang jawapan daripada anak lelakinya itu lalu menghubungi adiknya yang menetap berdekatan UPM untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang anak lelakinya itu pada 16 Januari lalu,  jam lebih kurang 2 petang.

“Setelah sampai di UPM Serdang, adik pengadu menghubungi rakan sebilik mangsa. Bagaimanapun, rakannya memaklumkan kali terakhir Mohd Irfan semasa pergi bersolat Jumaat menaiki sebuah motosikal bernombor pendaftaran RAC 5095 jenis Yamaha 135LC,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Anbagan sehingga hari ini, pelajar semester pertama jurusan Ijazah Pengajian Pengguna itu masih belum pulang ke rumah atau balik ke bilik penginapan di UPM Serdang dan masih gagal dihubungi ahli keluarganya.

Katanya, penuntut itu mempunyai ketinggian lebih kurang 171 sentimeter dan berat badan 65 kilogram serta berbadan kurus dan berkulit cerah, selain memakai cermin mata serta tiada sebarang tanda parut atau tatoo pada badan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai orang hilang agar menghubungi mana mana balai polis berdekatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.-MalaysiaGazette