Wan Mohd Zahari menunjukkan barang rampasan dadah hasil daripada serbuan yang dijalankan oleh pihak polis

KUANTAN – Sepasang kekasih ditahan apabila disyaki terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sebuah hotel bajet di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun itu dikatakan memperoleh bekalan dadah untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Mereka juga menjadikan hotel bajet di sini sebagai markas memproses dadah.

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai terjebak dalam sindiket dadah ini aktif sejak awal tahun lalu.

Jelasnya, penahanan kedua-dua susepek telah membawa kepada penemuan sebuah bilik sewa di kawasan Panching yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan dadah.

“Polis berjaya merampas dadah jenis ganja sebanyak 1,967.1 gram, dadah jenis syabu sebanyak 279.1 gram dan pil yaba sebanyak 14.35 gram.

“Turut dirampas sepucuk pistol model Zoraki M 906-TD mengandungi kelopak berisi lima butir peluru. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,635,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Wan Zahari memaklumkan, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas  boleh digunakan oleh seramai 1,525 orang penagih dan hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki adalah seorang penganggur serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Manakala suspek wanita pula mempunyai rekod jenayah narkotik.

Namun hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati keduanya negatif dadah.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39 A(1) ADB serta Seksyen 12(2) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Suspek lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan. – MalaysiaGazette