Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengesyorkan agar semua jurulatih atau guru-guru sukan diwajibkan untuk mengikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebagai sebahagian syarat untuk mendapatkan lesen jurulatih sukan kepada pelajar.

Selaku penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk memastikan hak kanak-kanak untuk melibatkan diri secara bebas dalam aktiviti permainan dan rekreasi diiktiraf dan dihormati.

Ini susulan insiden jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar dua pemainnya dalam kejadian yang tular baru-baru ini.

Pengerusinya Suhakam, Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, suruhanjaya ini menyokong tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan lesen serta tindakan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menarik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap Satu (Sukan Spesifik) jurulatih berkenaan.

Malah, ia berpandangan bahawa tindakan KBS dan KPM itu merupakan satu isyarat tegas kepada semua jurulatih dan guru sukan bahawa pihak KBS dan KPM tidak akan berkompromi berhubung aspek keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya yang melibatkan atlet kanak-kanak.

”Keputusan ini juga dilihat sebagai jaminan bahawa kanak-kanak dan remaja tidak akan dikasari dan dijatuhkan maruah oleh mana-mana pihak apabila menyertai aktiviti sukan, kesenian atau kebudayaan.

”Sekiranya insiden sebegini tidak ditangani dengan sewajarnya, dikhuatiri emosi kanak-kanak ini akan terganggu dan mereka mungkin berasa takut untuk bermain serta menyertai aktiviti sukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Suhakam juga menyarankan agar semua ibu bapa dan penjaga melaporkan sebarang kes kekasaran atau insiden menjatuhkan maruah pelajar oleh jurulatih atau guru sukan kepada pihak polis atau JKM di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-2615999, dan juga kepada pihak KBS dan KPM sebagai satu usaha kolektif untuk menangani isu dengan lebih proaktif. – MalaysiaGazette