Prof Ts Dr Massila Kamalrudin (2dari kiri) sewaktu kunjungan dan perbincangan beliau bersama Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman (2 dari kanan) di Kampus UKM Bangi, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuhkan hubungan strategik dan perkongsian kepakaran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM dan UKM terus menyemarakkan budaya perkongsian kepakaran dan amalan terbaik secara bersama bagi aktiviti penjanaan pendapatan melalui anak syarikat.

“Peluang ini akan dijayakan sepenuhnya kerana ianya merupakan ruang dan peluang yang sentiasa berpotensi besar untuk diterokai bersama sekaligus menjana pendapatan lumayan buat universiti.

“Di samping itu, kedua-dua universiti turut menyentuh peluang untuk menjayakan beberapa siri kolaborasi penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang berimpak tinggi dan tentunya memberikan manfaat buat komuniti sejagat.

“Ianya seiring dengan peranan dan penterjemahan kepakaran dimiliki yang berkait terus kepada pembangunan masyarakat dan negara malahan turut memberi impak langsung kepada peradaban dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Massila berkatam kerjasama itu hasil daripada kunjungan dan perbincangan beliau bersama Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman di Kampus UKM Bangi baru-baru ini.

Dalam kunjungan tersebut pihak UTeM turut berpeluang berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak.

Kunjungan pihak UTeM ke UKM turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) Datin Wira Ts Nurazlina Md. Sanusi. – MalaysiaGazette