Sindiket curi motosikal dan ekzos kereta aktif sekitar Ampang berjaya ditumpaskan polis dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua warga Myanmar disyaki ahli sindiket itu. - Gambar ihsan Polis Ampang

AMPANG – Satu sindiket mencuri motosikal dan ekzos kereta yang menyasarkan kawasan perumahan di sini tewas apabila lima suspek termasuk warga asing diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan kelima-lima suspek bermula dengan siasatan kes kehilangan sebuah motosikal di Taman Muda di sini pada 12 Januari lalu.

“Bertindak atas aduan dan maklumat itu, pada 16 Januari lalu sepasukan polis Ampang Jaya telah berjaya melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warganegara asing disyaki terlibat atas kecurian itu.

“Kesemua suspek berusia antara 19 tahun hingga 21 tahun itu telah dicekup di sekitar kawasan Ampang dan Sentul dan didapati tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pemeriksaan lanjut, polis turut merampas barangan curi iaitu empat buah motosikal dan dua buah rangka motosikal.

Sindiket curi motosikal dan ekzos kereta aktif sekitar Ampang berjaya ditumpaskan polis dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua warga Myanmar disyaki ahli sindiket itu. Ihsan Polis Ampang

Polis juga mendapati tiga buah motosikal dan dua rangka motosikal itu masih dilaporkan hilang dalam kawasan Wangsa Maju, Setapak dan Jinjang manakala sebuah motosikal dilaporkan hilang dalam daerah Ampang.

“Polis turut merampas beberapa peralatan iaitu spanar, alatan mesin drill gergaji, coverset motosikal, beberapa ekzos kereta yang telah dipotong dan komponen motosikal yang telah dileraikan.

“Semakan polis mendapati, suspek pertama memiliki tiga rekod jenayah, suspek kedua tiada rekod jenayah, suspek ketiga memiliki 12 rekod jenayah manakala suspek keempat miliki 12 rekod dan satu rekod yang masih dikehendaki manakala suspek kelima tiada rekod jenayah.

“Kesemua mereka turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum empat daripadanya disahkan positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kelima negatif dadah,” katanya.

Polis mendapati modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan sunyi dan juga ezkos motokar model lama.

Kesemua suspek kini telah direman selama empat hari bermula Selasa sehingga 20 Januari ini untuk membantu siastaan di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan.

Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum dengan penjara selama tempoh minimum satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast