Dua pemancing berjaya menyelamatkan diri dengan berenang selama dua hari di Pulau Tioman setelah bot mereka hanyut dibadai ombak kelmarin.

KUANTAN – Dua pemancing berjaya menyelamatkan diri dengan berenang selama dua hari di Pulau Tioman setelah bot mereka hanyut dibadai ombak kelmarin.

Salah seorang daripada mereka, Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah, 45, berkata, selain berenang, beliau sering menyebut Allahuakbar sehinggalah selamat sampai ke Teluk Juara kira-kira pukul 2. 30 petang semalam.

Mengimbau kembali detik cemas itu, beliau hanya memikirkan ingin selamat pulang ke pangkuan keluarga ‘berjuang’ meredah Laut China Selatan itu bersama sahabatnya, Chia Swee Kwong yang berusia 49 tahun.

“Memikirkan tiada bekalan makanan dan minuman selain tiada isyarat telefon di kawasan terbabit, kami nekad membuat keputusan untuk berenang daripada menunggu diselamatkan.

“Saya banyak kali mengalami kekejangan ketika dua hari berenang tetapi saya tidak panik dan meneruskan renangan sehingga berjaya sampai ke pantai.

“Mujur saya ada pengalaman menjalani latihan di air ketika masih berkhidmat dalam FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dahulu,” katanya.

Sebelum itu, mereka  keluar memancing pada pukul 4 petang Isnin lalu di unjam yang terletak tidak jauh daripada pulau dan berhasrat ntuk pulang pukul 6 petang pada hari yang sama.

Namun ketika dalam perjalanan, bot mereka  dihanyutkan air ekoran enjin bot mati kerana kehabisan minyak.

Selepas itu Zulfahmey dan Swee Kwong mengambil keputusan untuk berlabuh kerana hari semakin gelap dan hanya menyedari rantai sauh terputus mengakibatkan bot mereka dipukul ombak kemudiannya tersadai kira-kira pukul 4 pagi.

Sebagai alternatif  menyelamatkan diri, kedua-dua sahabat itu cuba memanjat tebing batu setinggi kira-kira dua meter namun usaha mencari laluan keluar melalui hutan menemui jalan buntu.

“Mujur tidak putus asa, kami memakai jaket keselamatan dan pelampung hanyut dan mula berenang kedalaman 10 meter pada hari Selasa pukul 1 petang dan terpaksa berenang jauh disebabkan ombak dan angin kuat.

“Kami berjaya berenang melepasi tiga teluk dan kembali semula ke tebing batu kira-kira pukul 6 petang pada hari pertama kerana tidak mahu mengambil risiko berenang pada waktu malam.

“Swee Kwong hampir putus asa kerana terlalu penat dan kelaparan namun selepas memberinya semangat, dia setuju untuk berenang semula pada hari kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhirnya kedua-dua sahabat itu berjaya sampai ke Pantai Teluk Juara.

Terdahulu mereka berdua dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sebelum ditemui orang awam dalam keadaan lemah di pantai Teluk Juara, Pulau Tioman, kata Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh.

Bagaimanapun Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Pahang menerima laporan mengenai penemuan mangsa kira-kira pukul 2.30 petang semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast